“Shaza, boleh aku masuk?” Maziana mengetuk pintu bilik Shaza.
Nada suaranya diperlahankan, agar tidak menganggu tidur Shadrina.
“Maz, kejap. Aku yang akan keluar, aku tak nak ganggu tidur
Shadrina,” ucap Shaza lemah.
Maziana dapat mengesan perubahan suara S haza, walaupun jarak mereka
agak jauh tika itu.
Shaza melangkah lemah sebaik keluar dari biliknya. Dirinya sudah
tidak terurus, selepas terjumpa dengan lelaki yang telah dilabelkan
sebagai orang yang tidak mahu ditemui seumur hidupnya.
Maziana pantas memeluk Shaza, sebaik kelibat Shaza muncul di sofa
ruang tamu mereka.
“Shaza, kau ada masalah ke? Kalau kau ada masalah, aku boleh jadi
pendengar dan mungkin aku boleh bantu kau selesaikannya?” Maziana
menggenggam erat tangan Shaza.
“Maz, apakah aku tidak layak untuk peroleh kebahagiaan?” soal
Shaza sambil mengelap airmatanya yang keluar seiring dengan rasa
hatinya.
“Shaza, kenapa ni? Apa yang dah berlaku?” Maziana cuba
menenangkan Shaza.
“Tadi aku terjumpa dengan ...” Shaza tak mahu menyebut nama
lelaki itu.
“Jumpa siapa? Aniq?” Maziana meneka, tetapi hanya dibalas dengan
gelengan.
“Habis kalau bukan dia siapa? Siapa yang boleh buat kau, jadi
sampai macam ni?” Maziana mengusap bahu Shaza.
“Lelaki yang lebih teruk dari Aniq Raykal!” suara Shaza berubah
drastik.
“Aku kenal ke orangnya?” soal Maziana.
“Ya, kau kenal dia. Dia lah lelaki yang telah ragut kehormatan
aku!” Shaza seakan menjerit tika itu.
“Meragut kehormatan kau? Bukan Aniq ke?” Maziana tahu apa yang
terjadi dalam perkahwinan Shaza dan Aniq Raykal sebelum hubungan
mereka berakhir dengan penceraian.
“Sebenarnya, aku dengan dia couple sebelum aku kahwin dengan Aniq.
Tetapi dengan satu insiden, dia telah meragut kehormatanku tanpa
kerelaan aku,” Shaza berubah kembali menjadi seorang yang lemah.
“Maksud kau? Aku tak dapat nak bayangkan situasinya macam mana,”
Maziana perlukan perjelasan dari Shaza.
“Aku kenal dengan Rizal Qushairy, semasa kita di zaman kolej lagi.
Pada mulanya kami hanya berkawan, tapi gara-gara nak siapkan
assignment hubungan kami menjadi rapat. Ke hulu ke hilir bersama.
Satu hari tu, kami secara tidak sengaja terjumpa Aniq Raykal dengan
Ruhaila dekat pusat bowling kat Shah Alam. Aku macam biasa je bila
terjumpa mereka, tetapi Aniq Raykal tak senang duduk tengok kami.
Rizal perasan yang Aniq asyik pandang aku, lalu dia tanya aku. Aku
pun bagitahu la dia, apa sengketa yang terjadi antara aku dengan
Aniq. Aku tak sangka pula, yang Rizal sememangnya dah berdendam
dengan Aniq sejak zaman sekolah lagi,” Shaza menceritakan serba
sedikit macam mana dia kenal dengan Rizal.
“Okey, macam mana pula sampai kau jadi mangsa dia?” Maziana
bertanya.
“Semuanya terjadi, sebaik Rizal mengetahui yang Aniq memasang
perangkap untuk kenakan aku sebab aku dah jatuhkan maruah dia masa
minggu orientasi tu,” Shaza mula tenang apabila cerita itu dikongsi
dengan Maziana.
“Okey lepas Rizal tahu Aniq pasang perangkap, dia buat apa?
Berjuang untuk membela kau?” Maziana semakin teruja untuk
mengetahuinya.
“Ya, memang dia banyak selamatkan aku. Tapi dia berubah, lepas aku
dengan Aniq kena tangkap khalwat. Aku tahu dia kecewa, tapi apa yang
aku mampu lakukan untuk melawan takdirku?
Kudrat lelaki dan perempuan tak sama. Kau tahu Aniq macam mana kan?”
Shaza pula bertanya.
“Ya, aku tahu. Dia tak mudah mengalah dalam mendapatkan apa yang
dia nak! Lelaki dayus!” Maziana mulai meradang sebaik nama Aniq
Raykal dan perangai jahatnya dibangkitkan.
“Mulanya aku terima satu nota, di nota itu ada tertulis yang Rizal
nak jumpa aku. Aku pula, tanpa usul periksa dan bertanya dengan Rizal
tentang nota itu. Terus menapak ke tempat yang diminta. Sebaik sampai
kat situ, aku tak nampak Rizal. Tapi hanya Aniq yang berada di situ.
Aniq mendekati aku, dan meminta aku agar melupakan Rizal dengan
alasan tak nak aku di tipu dan dipermainkan oleh Rizal.
Aku menafikan apa yang dia cakap mengenai Rizal, sebab aku lebih
kenal siapa Rizal berbanding Aniq.
Aniq tak dapat terima, apa yang aku cakap. Masa tu, hanya ALLAH yang
tahu apa yang berada di hati dan minda aku. Dia mendekati aku, sambil
membuka butang baju kemejanya. Sebaik dia menanggalkan kemejanya,
pintu bilik terbuka. Aku terkejut bukan kepalang, bila melihat Rizal
dan beberapa orang guru sedang berada di depan muka pintu. Aku tak
mampu nak lakukan apa-apa saat itu.” Shaza kembali mengalirkan
airmatanya.
“Kenapa kau tak pernah bagitahu aku tentang tu? Kenapa kau simpan
sendiri? Kenapa kau tak pertahankan diri kau?” Maziana melemparkan
segala persoalan yang berada di mindanya.
“Maz, untuk apa aku pertahankan diri aku dengan mengatakan yang aku
tak bersalah? Kau sendiri tahu latar belakang Aniq Raykal kan?
Dia anak pemilik kolej kita belajar, sudah tentu family dia akan cuba
sedaya upaya untuk melindungi dia. Aku ni siapa pula, jika nak
dibandingkan dengan dia?” Shaza mulai lemah.
“Shaza, sebab itu ke kau terima Aniq Raykal sebagai suami kau?
Kenapa kau sanggup, korbankan kebahagiaan kau demi maruah family dia?
Dia pernah fikir tak, akan balasan dari perbuatannya?” Maziana
seakan tidak puas hati, dengan tindakan yang di ambil oleh Shaza.
“Maz, siapa aku nak melawan takdir? Aku terima dia sebagai suami
aku, bukan kerana harta atau maruah family dia. Tapi, sebab maruah
aku yang sudah tercalar.
Pada mulanya aku, kurang yakin untuk bersuamikan dia, tapi selepas
aku buat solat istikarah dan meminta petunjuk dariNYA, aku mengambil
keputusan untuk menjadikannya sebagai imamku,” Shaza Azwin merenung
lesu pintu bilik Shadrina.
“Habis selepas dia melafazkan akad nikah, perangai dia berubah tak?
Macam mana dengan penerimaan dia?” Maziana masih mahu mengetahui.
“Aku tak sangka. Sebaik dia melafazkan akad nikah, dia seperti
menjadi orang lain. Aku betul-betul terkejut dan aku rasa bersyukur
sangat bila aku ditakdirkan untuk menjadi suri hatinya. Dia melayan
aku, seperti aku ni seorang puteri, Maz.
Tapi semua itu tak lama, semuanya hancur dan berkecai gara-gara
dendam oleh insan yang bernama Rizal Qushairy! Dia dah meninggalkan
detik hitam dalam hidupku dan menghancurkan hubungan kami suami
isteri,” Shaza merasakan dadanya seperti hendak pecah, bila perkara
itu tergambar dimatanya.
“Macam mana Aniq Raykal tahu yang kau sudah ...” Maziana tak
sampai hati nak menyebutnya.
“Sudah hilang dara, itu yang kau nak maksudkan?” Shaza memandang
Maziana, dengan airmatanya
mula mengalir.
Namun soalan Shaza, hanya dibalas dengan anggukkan oleh Maziana. Dia
tiada keberanian untuk bicara saat memandang wajah Shaza Azwin tika
itu.
“Sebelum peristiwa itu, dia tak pernah paksa aku untuk menjalankan
tanggungjawab aku. Tapi, pada hari ulangtahun kelahirannya. Dia
meminta pada aku. Pada mulanya, aku cakap dengan dia yang aku belum
bersedia.
Tapi bila aku teringat akan pesan seorang bijak pandai, aku tanpa
dipaksa menunaikan tanggungjawab aku sebagai isterinya,” Shaza
mengelap airmatanya yang jatuh kepipi.
“Masa kalian … Macam mana aku nak cakap ey?” Maziana rasa segan
pula untuk bersuara.
“Bersama? Ala kau ni kan, sempat lagi buat muka macam tu,” Shaza
akhirnya terhambur juga tawanya apabila melihat mimik muka yang
terpampang di wajah Maziana.
“Err … maaf,” Maziana sudah menahan malunya.
“Pada mulanya aku masih mampu kawal, tapi wajah Rizal tiba-tiba
datang diminda aku dan membuatkan aku teringat kembali peristiwa itu.
Aniq pada mulanya mengerti, sebab mungkin aku belum bersedia. Tapi
selepas itu, dia bertanya aku satu soalan yang buat aku jadi tak
keruan.
Dia tanya aku, sebelum aku kahwin dengan dia. Aku pernah bersama
dengan lelaki lain ataupun terlibat dalam kemalangan. Aku yang
dihimpit ketakutan, telah menyebut nama Rizal Qushairy. Tapi aku tak
bagitahu dia, yang Rizal pernah memperkosa aku,” Shaza Azwin
bersikap terbuka apabila membuka aib dirinya sendiri.
“Dia marah kau ke? Pukul kau?” Maziana jadi tak senang duduk.
“Dia tak buat apa-apa pada mulanya, tapi aku perasan yang dia mula
dingin dengan aku. Keesokan harinya, dia bawa aku pergi berjumpa
dengan Rizal Qushairy. Dia terus bertanya pada Rizal, sama ada aku
pernah terlibat dalam kemalangan atau …” Shaza berhenti seketika,
untuk mengambil udara.
“Rizal dengan tanpa rasa bersalah saat itu. Dia cakap dekat Aniq
dengan bersaksikan aku, dia mengaku yang dia pernah sekatil dengan
aku. Aniq tanpa usul periksa, terus melafazkan talak satu pada aku
sewaktu kami berada di restoran.
Aku betul-betul tak sangka yang dia boleh berbuat begitu. Dia
melafazkan talak, tanpa bertanyakan apa yang berlaku pada aku. Aku
betul-betul rasa terhina dengan perbuatan dia,” Shaza membalas
genggamman tangan Maziana.
“Shaza, boleh aku tanya sesuatu?” Maziana berasa seperti berada
ditali gantung bila, dia ingin mendapatkan jawapan kepada soalan yang
bakal dia tanya.
“Shadrina tu anak siapa? Itu yang kau nak tanya?” Shaza Azwin
sudah mengagak akan soalan yang ingin Maziana soalkan.
“Maafkan aku, Shaza. Aku cuma nak tahu je. Kalau kau rasa tak nak
jawab, aku tak paksa,” Maziana belajar untuk bermain psikologi.
“Dia adalah hasil hubungan aku dengan Aniq. Dia bukan anak luar
nikah, Maz. Pada mulanya, aku ragui jugak. Tapi aku, terus buat ujian
DNA. Keputusannya betul-betul buat aku bersyukur, kerana aku
melahirkan anak yang sah tarafnya. Bukan dari hasil hubungan, yang
terlarang.
Walaupun dia hasil dari hubungan yang sah, aku masih belum boleh
terima darah yang mengalir dalam tubuhnya, Maz. Aku cukup terpukul
dengan tindakan Aniq,” Shaza melentokkan kepalanya kebahu Maziana.
“Shaza, kau jangan sesekali menafikan haknya kepada Shadrina. Dia
masih bapa kepada anak kau tu. Jangan sesekali kau menyalahkan takdir
yang telah ditentukan. ALLAH tak kan menguji hambanya, diluar
kemampuan hambanya. Aku yakin, ALLAH telah buat perancangan yang
terbaik untuk kau.
Aku tahu, bukan mudah kau nak lupakan perkara itu. Tapi kau kena
ingat, setiap yang berlaku memberi kita pengajaran untuk lebih
berhati-hati dalam meneruskan kehidupan. Setiap yang berlaku, ada
hikmahnya. Mungkin Aniq, bukanlah jodoh yang terbaik untuk kau.
Mungkin juga, kau tersalah sangka akan petunjuk yang ALLAH bagi akan
solat istikarah yang kau buat. Sekarang ni, aku tak nak tengok lagi
Shaza Azwin yang lemah. Aku nak tengok, Shaza Azwin yang baru. Shaza
yang tidak mudah untuk mengalirkan airmata. Kau kena kuat, demi
Shadrina. Dia lebih memerlukan kau sekarang ni. Aku yakin, kau akan
jumpa jodoh yang terbaik untuk kau kelak,” Maziana memberikan
motivasi kepada sahabatnya yang sudah dianggap sebagai keluarganya
sendiri.
“Maz, terima kasih. Terima kasih, sebab sudi bantu dan dengar
masalah aku. Aku tak tahu macam mana nak teruskan kehidupan ini, jika
kau tiada di sisi aku. Maz, aku janji dengan kau yang aku akan
bangkit dan tabah dalam menghadapi dugaan dan kehidupan aku.
Maz, esok kau free tak? Aku ingat nak ajak kau teman aku, beli barang
sikit. Barang-barang pun dah banyak habis. Selain itu, kau bawa aku
melawat tempat-tempat menarik kat sini boleh? Aku nak pergi sendiri,
aku bukannya tahu sangat,” Shaza Azwin kembali ceria dan berjanji
untuk bangkit dari kedukaannya.
“Kenapa kau baru cakap yang barang-barang rumah dah nak habis?
Bagus juga cadangan kau tu, mana la tahu sedikit sebanyak ia boleh
bantu kau kuatkan diri dan semangat kau,” Maziana memeluk Shaza
untuk memberi semangat baru kepada sahabatnya itu.
No comments:
Post a Comment